Wednesday, August 03, 2005

PANTUN JIKA DIKENANG KENANGKAN



Pohon kayu diusung ke bukit
Dikikir panglima sebelum senja
Mata ayu berlesong pipit
Bibir delima tersenyum manja

Hidangan dijamah setiba pagi
Lalu dimakan bersama budu
Dihalaman rumah hamba renungi
Baju di ampaian mengubati rindu

Jati seberang jangan dicabut
Pinang sebatang di tepi kali
Hati terkenang jiwa menyebut
Sayang dikenang tak ambil peduli

Bersama anak menjala tioman
Membawa gunting mengerat tali
Diantara banyak bunga ditaman
Mengapa tersunting terpikat dihati

Anyaman asli pusaka bangsa
Selendang sutera corak berbunga
Senyuman di beri terasa seksa
Mengenang dia sudah berpunya

Pucuk melati melata di para
Daun semilu direndam kera
Ku pujuk hati membawa lara
Melupa rindu memendam rasa

Luas mencelah sipokok melati
Di tepi perigi tumbuh melata
Puas sudah memujuk hati
Tapi hati tak dengar kata

Berpeluh mengail di dini hari
Untuk mencari siikan bujuk
Sungguh degil hati ku ini
Bagaimana-lah lagi hendak dipujuk


Miharbi.S
3 Ogos 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home