Thursday, August 11, 2005

ENTAH ?


Gelama merah menuju kepaya
Meredah hingga ke ulu perigi
Lama sudah tidak ku jumpa
Entah bila ketemu lagi

Pasang lukah memburu seluang
Lukah terkena gelama berduri
Lama sudah tidak ku pandang
Entah ke mana membawa diri

Seluang menerpa mengejar umpan
Meratah udang sambil berlari
Hilang tanpa meninggal pesan
Entah sayang entahkan benci

Lilin dipasang diatas kayu
Buah rambai dimakan budak
Kirim dipesan di angin lalu
Entah sampai entahkan tidak

Dalam tasik belut diburu
Lintah mencari darah talapia
Angin berbisik lembut mendayu
Entah diri ku sudah dilupa

Dari Kedah menjemur kekabu
Pelepah merah di ikat tali
Diri gundah bercampur rindu
Entah berdarah hati ku ini

Kalau biru buah rumia
Diratah sajalah di dini hari
Kalau begitu lumrah dunia
Entah apakah dosa diri ku ini

Tunggal mayang si tunggal seraya
Patah empat bertatah puri
Tinggal sayang tinggal-lah nyawa
Entah sempat berentah lagi

miharbi.s
110805

Wednesday, August 03, 2005

PANTUN JIKA DIKENANG KENANGKAN



Pohon kayu diusung ke bukit
Dikikir panglima sebelum senja
Mata ayu berlesong pipit
Bibir delima tersenyum manja

Hidangan dijamah setiba pagi
Lalu dimakan bersama budu
Dihalaman rumah hamba renungi
Baju di ampaian mengubati rindu

Jati seberang jangan dicabut
Pinang sebatang di tepi kali
Hati terkenang jiwa menyebut
Sayang dikenang tak ambil peduli

Bersama anak menjala tioman
Membawa gunting mengerat tali
Diantara banyak bunga ditaman
Mengapa tersunting terpikat dihati

Anyaman asli pusaka bangsa
Selendang sutera corak berbunga
Senyuman di beri terasa seksa
Mengenang dia sudah berpunya

Pucuk melati melata di para
Daun semilu direndam kera
Ku pujuk hati membawa lara
Melupa rindu memendam rasa

Luas mencelah sipokok melati
Di tepi perigi tumbuh melata
Puas sudah memujuk hati
Tapi hati tak dengar kata

Berpeluh mengail di dini hari
Untuk mencari siikan bujuk
Sungguh degil hati ku ini
Bagaimana-lah lagi hendak dipujuk


Miharbi.S
3 Ogos 2005

Tuesday, August 02, 2005

TEKA-TEKI ….MUHIBBAH !!

(Dibaca ala Samy Veloo)

Inggeris sama India
Hati banyak suka
Dalam sudah periksa
Dua juga ada

Hati dalam takut rasa
Takut kalu salah teka
Satu kali lagi itu dalam periksa
Orait satu besar satu kici ada juga

Itu Cina Benggali Nasrani
Sama juga itu Bangladeshi
Semua mesti senang hati
Satu dalam ada kici

Kesian sama itu Melayu
Cari sana cari situ
Ayoyo sudah kasi malu
Besar elek kici taraa temu

Sama itu Melayu kasi cerita
Jangan cari sini sana
Kalau itu barang mahu juga
Tukar nama jadi Bumiputera

Helo aya aci ama apa
Sudah abis ini cerita
Sama awak juga tanya
Itu Melayu apa taraa ??


(Klu utuk jawapan teka-teki)

Dei tambi sikit juga tanya
Ini U punya cerita kaa?
Ayoyo bukan la aya
Ini I punya cerita laa!!.


Rekaan Miharbi.S